Rahmah, Sifat Para Da’i

1203803757

Firman Allah s.w.t : ” Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. “.(Surah Al-Anbiya’ : 107)

Sifat rahmah merupakan suatu sifat yang tidak boleh lari daripada seorang da’i. Suatu kefahaman yang biasa berlaku adalah manusia memahami bahawa sifat rahmah itu adalah membalas sesuatu kebaikan dengan kebaikan atau menunjukkan belas kepada mereka yang baik. Uniknya Islam, ia mengajar umatnya bersifat rahmah hatta kepada mereka yang membuat keburukan.

Sifat Rahmah ini terpancar dalam kehidupan Rasulullah s.a.w. Satu gambaran praktikal yang hidup pada Rasulullah s.a.w adalah ketikamana baginda berdakwah ke Taif. Dakwah baginda bukan sahaja ditolak, malah baginda turut diusir, dicemuh dan disakiti (dibaling dengan batu oleh kanak-kanak). Peristiwa tersebut menyebabkan malaikat menawarkan untuk membinasakan tersebut, tetapi baginda hanya menjawab : ” Innahum kaumun la ya’lamun (Sesungguhnya mereka merupakan kaum yang tidak mengetahui).”

Satu lagi peristiwa adalah ketika pembukaan kota Mekah. ketika awal kedatangan dakwah Islam Rasulullah s.a.w dan para sahabat dicemuh, dihina, disakiti, diseksa malah ada yang terbunuh akibat daripada seksaan yang diterima oleh kaum musyrikin Quraisy Mekah. Perbuatan mereka akhirnya menyebabkan Rasulullah s.a.w dan para sahabat berhijrah ke Madinah bagi meneruskan dakwah Islam.

Ketika pembukaan kota Mekah kaum Quraisy berjumpa dengan Rasulullah s.a.w meminta maaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan mereka. Sekiranya dihitung dengan kuasa yang ada pada Rasulullah s.a.w ketika itu baginda mampu untuk membalas kembali setiap apa yang telah mereka kenakan pada baginda dan para sahabat, tetapi baginda s.a.w cuma menjawab : “izhabu fa antum tulaqa’ ( Pergilah, sesunggguhnya kamu telah dibebaskan).”

Sifat rahmah ini juga diwarisi dengan oleh mereka yang ditarbiyah dengan madrasah tarbiyah Rasulullah s.a.w. Satu ketika Abdullah ibn Mas’ud r.a  ingin membeli gandum, maka dia mengambil duitnya dan menuju ke pasar.  Ketika beliau ingin membayar harga gandum tersebut, beliau menyeluk sakunya dan mendapati bahawa duitnya telah dicuri. Apabila penjual tersebut mengetahui perkara tersebut dia menjerit : ” duit sahabat Rasulullah s.a.w telah dicuri mari kita mendoakan keburukan/ kecelakaan bagi pencuri itu.”. Abdullah ibn Mas’ud menjawab : ” Aku adalah pemilik wang tersebut, biar aku berdoa dan kamu mengaminkan.” . Maka beliau berdoa : ” Ya Allah, sekiranya pencuri tersebut mencuri disebabkan dia berhajat atau perlu kepada duit tersebut maka berkatilah dia dengan wang tersebut, dan sekiranya dia mencuri bukan kerana hajat tetapi memang dia ingin mencuri maka jadikanlah itu perbuatannya yang terakhir dan dia bertaubat dia atas perbuatannya. “.

Begitu kita melihat contoh mereka yang ditarbiyah dengan madrasah tarbiyah Rasulullah s.a.w. Apa yang mereka perolehi bukan sekadar kefahaman yang dihafaz tetapi akhlak yang terpancar dalam kehidupan. Seorang muslim perlu bersifat rahmah lebih-lebih lagi para da’i. Kita dituntut bersifat lemah lembut dan belas terhadap muslim, lebih-lebih lagi kepada mereka yang sama-sama merupakan aktivis-aktivis dakwah dan menjadikan Allah s.w.t sebagai ghayah (visi).

pohon kecik

Imam Hasan Al-banna berkata : ” Pendakwah di jalan Allah itu ibarat sepohon pokok yang lebat dan ranum buahnya. Orang ramai melontarkannya dengan batu dan kayu (untuk mendapatkan buahnya). Tetapi dia membalas dengan buah-buahan yang ranum kepada mereka “.

Wallahua’lam

Satu Respons

  1. Assalaamu’alaikum..

    Sifat rahmat adalah manifestasi dari sifat kasih sayang. Rahmah dan kasih sayang Allah swt menghasilkan penciptaan alam dan penciptaan manusia. Tanpa sifat rahmah amat sukar bagi manusia untuk berinteraksi dan berkomunikasi malah berkongsi kehidupan di dunia yang satu ini. Oleh itu, dalam menyampaikan apa jenis ilmu kepada manusia, sifat ini harus menjadi ciri yang utama agar apa yang ingin disampaikan dapat diterima dengan mudah dan mempunyai jalinan yang baik tanpa rasa ragu dan kesal.

Tinggalkan komen