Individu, Keluarga Dan Ummah Islam

picture1

“Barakallahulakuma wa baraka alaikuma wa jama’a bainakuma filkhair wa razakakuma zurriyatan tayyibatan tanfaul ISLAM wal muslimin

kepada ikhwah dan akhawat yang baru sahaja  mendirikan rumahtanggga terutama kepada

Akh Sirojul Afkar dan Ukhti Nik Nabihah

Akh Hakim dan Ukhti Dr Syarifah

Akh Shahril Atiqi dan Ukhti Hasliza

Akh Hikbal dan Ukhti Azza

Nilai-nilai mantap yang perlu dipupuk dalam jiwa manusia ini dan roh yang sedar yang menjadi matlamat dakwah ini perlu dicernakan dalam bentuk amalan dalam hidup masyarakat. Namun tidak syak lagi ia perlu bermula dengan kebangkitan secara praktikal dalam hidup individu, keluarga dan masyarakat.

a) Kesedaran ini akan memberi kesan kepada individu hingga individu ini menjadi suatu contoh yang mencerminkan kehendak Islam yang perlu ada pada seorang individu. Islam mahukan individu yang mempunyai perasaan yang peka dan dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk. Individu yang mempunyai pengetahuan yang betul dan dapat membezakan mana yang betul dan mana yang salah. Individu yang mempunyai keazaman yang tinggi, tidak goyah dan tidak berkompromi dalam mempertahankan kebenaran. Individu yang mempunyai jasad yang sihat dan benar-benar mampu memikul tanggungjawab sebagai seorang manusia. Akhirnya individu ini menjadi alat yang baik untuk mencapai matlamat yang baik dan mampu membantu pihak yang benar dan baik.

Islam telah menggariskan tanggungjawab individu melalui garis panduan yang dapat membawa individu ini mencapai segala matlamat ini. Ibadat Islam misalnya merupakan cara terbaik untuk menghubungkan hati dengan Allah. Di samping ibadah ini juga mampu memupuk jiwa yang sensitif. Pemikiran Islam pula akan membina fikiran dan akal individu. Di samping akan mendorong individu ini meneroka dan mengetahui dengan lebih mendalam tentang alam ini.

Akhlak Islam menyemai kemahuan dan keazaman yang tinggi pada individu. Peraturan yang Islam gariskan untuk makan, minum, tidur dan segala amalan harian pula jika benar-benar dipatuhi akan mampu memelihara jasad individu daripada perkara-perkara yang boleh memudaratkan dan tidak mampu diubati. Dengan ini individu ini akan sentiasa terpelihara daripada sebarang penyakit.

Oleh itu kita wajibkan setiap saudara seislam supaya melaksanakan ibadat yang diwajibkan oleh Allah supaya jiwanya sentiasa meningkat. Dia juga perlu belajar seboleh mungkin supaya pengetahuannya sentiasa meluas. Dia juga perlu menyemai akhlak Islam supaya kemahuannya lebih teguh. Dia perlu berpegang teguh dengan peraturan yang ditetapkan oleh Islam dalam soal makan, minum dan tidur supaya Allah memelihara tubuhnya daripada ancaman penyakit. Dalam meletakkan segala garis panduan ini Islam tidak hanya memberi penekanan hanya kepada kaum lelaki dengan mengabaikan kaum wanita. Sebaliknya dalam Islam kedua-dua jenis ini memiliki tanggungjawab yang sama sebagai individu. Seorang muslimah perlu memiliki jiwa yang halus, pengetahuan yang luas, akhlak yang mantap dan tubuh yang sihat sama seperti lelaki.

b) Pengislahan individu ini sudah tentu membawa kesan kepada keluarga kerana sebuah keluarga dibina oleh sekumpulan individu. Apabila lelaki dan wanita yang merupakan struktur asas sebuah keluarga menjadi baik, mereka berdua akan mampu membina sebuah keluarga contoh yang selari dengan garis panduan yang ditetapkan oleh Islam. Islam telah menetapkan garis panduan yang amat lengkap untuk sebuah keluarga. Islam membimbing manusia supaya mencari pasangan yang sesuai. Islam menetapkan cara terbaik untuk mengikat hubungan mereka. Islam menetapkan segala hak dan segala tanggungjawab di antara mereka. Islam mewajibkan kedua-dua pihak memelihara perkahwinan ini supaya beroleh hasil yang dikehendaki dan supaya hubungan ini tidak disia-siakan. Islam memberikan penyelesaian yang amat jelas kepada segala masalah yang dihadapi oleh pasangan ini. Malah Islam menggariskan cara yang seimbang tidak terlalu keras dan tidak terlalu lembut dalam setiap permasalahan yang timbul.

c) Apabila terbinanya sebuah keluarga yang baik, sudah tentu akan terbina sebuah ummah yang baik kerana sebuah ummah merupakan gabungan sekumpulan keluarga. Sebuah keluarga ibarat ummah yang kecil dan sebuah ummah ibarat sebuah keluarga yang besar. Islam telah menetapkan garis panduan hidup bermasyarakat yang harmoni bagi sebuah ummah. Islam membina hubungan persaudaraan sesama anggota ummah dan meletakkan hubungan ini seiring dengan iman. Islam mengangkat darjat hubungan ini bukan sekadar ke tahap kasih sayang malah hingga ke tahap mengutamakan orang lain. Islam menyekat segala perkara yang boleh mengganggu gugat hubungan ini atau apa sahaja yang boleh melemahkan ikatan ini. Islam menetapkan hak-hak yang bakal diperolehi, tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dan Islam menetapkan status hubungan antara anggota ummah. Islam menetapkan hak dan tanggungjawab ibu bapa. Begitu juga dengan anak-anak. Sanak saudara juga ada hak dan tanggungjawab mereka. Islam turut menggariskan secara terperinci peranan pemerintah dan rakyat. Islam menghuraikan dengan cukup jelas segala undang-undang yang berkaitan urusan harian sesama manusia. Islam tidak mengiktiraf kelebihan seseorang berbanding orang lain kecuali berdasarkan ketakwaannya. Bukan berdasarkan kepada tuan dan hamba atau pemerintah dan rakyat. Pada sisi Allah manusia adalah sama ibarat gigi sikat. Perbezaan di antara mereka hanya diukur berdasarkan amalan soleh. Islam turut menggariskan status hubungan antara ummah ini dengan bangsa yang lain. Islam gariskan setiap hak dan tanggungjawab setiap pihak secara terpinci tanpa mengabaikan apa-apa aspek walau sekecil mana sekalipun.

Islam telah berjaya menyelesaikan pelbagai masalah masyarakat. Terutama dalam mencegah perkara yang boleh menimbulkan masalah tersebut. Malah Islam melenyapkan sama sekali segala kemungkinan masalah ini akan timbul sekali lagi. Setiap masalah ada penyelesaiannya menurut Islam. Rawatan yang pertama ialah dengan memulihkan jiwa manusia dan menjamin hidup manusia dalam sebuah masyarakat.

Islam mampu melakukan semua itu tanpa perlu menggunakan kekerasan. Islam juga tidak akan mengajak manusia melakukan sesuatu yang tidak disenanginya. Islam mahukan manusia memperolehi kesenangan bukannya kesusahan. Oleh itu Islam meletakkan garis panduan tertentu dalam masalah pokok tetapi membuka pintu seluas-luasnya dalam masalah sampingan. Islam turut menggariskan cara pelaksanaan tetapi dalam masa yang sama Islam juga menerima peredaran zaman. Oleh kerana itulah Islam boleh menjadi undang-undang untuk sepanjang zaman. Ini juga bermakna Islam mewajibkan dakwah ini disebarkan hingga diterima oleh seluruh manusia supaya tercapai maksud firman Allah:

Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Al-Anbiya’: 107)

Apabila nilai yang kita maksudkan tadi menjadi teguh dan mampu membawa hasil yang kita gariskan ini hingga terlaksana sistem Islam dalam skop individu, keluarga dan ummah, kemudian risalah ini diterima pula oleh semua manusia, ini bermakna gagasan kita telah berjaya dan dakwah kita telah diterima. Allah tidak akan reda kecuali setelah cahaya-Nya sempurna.

keratan dari Majmuk Rasail (Risalah Dakwah Kita Di Era Baru)

Satu Respons

  1. Download Software AL-QUR’AN Pro Ver. 3.0
    Al-Qur’an lengkap 30 juz ( 114 Surat + teks & terjemahan (Arab/English/Indonesia))
    Tafsir Quran Lengkap, Penunjuk waktu sholat, 21 bahasa terjemahan Al-Quran, Al-Qur’an Audio with Voice of Shaikh Sudaish (Imam Mecca).
    Download Gratis Sekarang . Link Download http://www.ziddu.com/download/3082887/Al-QuranProVer.3.0.exe.html

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: